Ketika mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) di Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), Lembah Pantai lebih sedekad dahulu, kami didedahkan dengan pelbagai teknik pembelajaran dan pengajaran (P&P). Oleh sebab pedekatan komunikatif sedang berleluasa ketika itu, maka kami tidak dapat tidak didedahkan dengan konsep pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Pembelajaran Konstruktuvisme antara yang paling mendapat tempat. Namun, seperti biasa - kerana kebanyakan pelajar KPLI mempunyai pengalaman sebagai guru sandaran - kami sering mempertikaikan kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di sekolah. Hambatan silibus demi mengejar sasaran PMR dan SPM menjadi perkara yang aula daripada memastikan kebolehan dan potensi pelajar dikembangkan. Kata pensyarah kami, "memanglah tak dapat buat hari-hari, tetapi janganlah langsung tidak buat". Betul juga, namun sesampainya di sekolah, hambatan yang sama menjengah. Lebih-lebih lagi tugasan bukan P&P di dalam kelas berlambak-lambak.
Namun keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) saya kira memberi harapan baharu untuk pendidikan yang lebih bermakna (saya kata - harapan!) Jika dilihat dari segi konsepnya, PBS akan menumpukan kepada kebolehan dan keupayaan pelajar dengan tiada peperiksaan selaras dan berpusat, tetapi dikembalikan autoriti itu kepada guru (Lupakan soal SPPBS buat sementara waktu). Saya kira dengan konsep baharu pendidikan ini, guru tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus pada tarikh-tarikh tertentu demi memastikan pelajar dapat menjawab soalan-soalan berpusat yang dibekalkan oleh PPD / JPN / Bahagian masing - masing. Dengan itu guru-guru boleh mengolah topik, tema dan subtema pelajaran mereka mengikut kesesuaian dan kreativiti masing - masing. Hal ini saya kira mampu menjadikan pembelajaran para pelajar lebih bermakna.
Dalam merealisiasikan hasrat tersebut, saya percaya guru-guru tidak mempunyai masalah, kerana itu ialah bidang teras mereka. Secara dasarnya, itu;ah tujuan kita sebagai pendidik - mendidik!
Lantaran itulah, saya menerjuni alam PBS pada tahun ini untuk cuba sedaya upaya merealisasikan hasrat 'mendidik akal budi dan rohani' pelajar melalui pendekatan yang berbeza. Saya berharap apa-apa yang saya hasratkan akan tercapai selari dengan matlamat dan falsafah pendidikan itu sendiri.
Namun saya sedar bahawa kebolehlaksanaan sistem baharu pendidikan ini akan terjejas dengan beberapa masalah, seperti:-
(1) Gesaan untuk SPPBS - dengan sistem yang masih goyang;
(2) Beban pembuktian yang tidak munasabah (terlalu banyak bagi sesetengah subjek, namun untuk Bahasa Melayu saya kira masih boleh diterima)
(3) Jangkaan pihak atasan tentang "Band"
(4) Kelapangan masa untuk merancang P&P yang berkesan - sudah pasti tentang tugas-tugas pekeranian, tugas-tugas bukan P&P (pengurusan, mesyuarat, taklimat, kursus, pertandingan dsb)
(4) ... (isu-isu lain yang menyebabkan ketidaktekalan terhadap pelaksanaan dasar ini)
Warga pendidik yang punya idea dan cara, mungkin boleh kita berkongsi idea bersama-sama..Opsss... mungkin rungutan dan luahan perasaan tidak puas hati tidak wajar diperbesar-besarkan di sini, kerana yang lebih aula dalam blog ini untuk berkongsi idea, pengalaman dan pengetahuan.
Moga-moga Allah permudahkan urusan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan